Thursday, January 17, 2008

Keramat Anak Dara, Kg Naga



Keramat Anak Dara yang terletak di Kg Padang Pekan, Mukim Naga hanya mempunyai sebatang batu nisan sahaja. Batu nisan ini adalah jenis E1 dan dipercayai dari kurun ke 1500 masihi. Menurut penduduk tempatan, anak dara yang dimaksudkan itu adalah anak kepada seorang pembesar istana di Kota Naga yang memiliki beberapa keistimewaaan.

Kononnya disamping berdarah putih, beliau juga merupakan pawang gajah yang sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk menangkap seekor gajah putih di hutan belantara Siam atas titah sultan Kedah demi memenuhi permintaan Raja Siam ketika itu setelah beberapa orang pawang yang handal telah gagal menangkap gajah putih tersebut.

Malangnya apabila gajah putih itu berjaya ditangkap dan dijinakkan olehnya, gajah itu menderita sakit dan akhirnya mati. Lebih menyedihkan lagi apabila Pawang Anak Dara tersebut juga meninggal dunia setelah beberapa hari sakit berat.

Jenazahnya telah dikebumikan di tempat tidak jauh dari Kota Naga. Menurut penduduk tempatan, batu nisan yang ada di pusara Keramat Anak Dara itu memang terdapat sebatang sahaja. Sebatang lagi khabarnya telah diambil oleh Raja Siam sebagai tanda kenang-kenangan atas peristiwa sedih yang menimpa Pawang Anak Dara tersebut.

Thursday, January 10, 2008

Batu Acheh di Kg Baru Telok



Menurut penduduk tempatan, batu acheh dari kurun 1500 masihi ini dikatakan makam Tok Bomoh Gajah.

Batu Acheh di Kg Anak Bukit






Lokasi ini terletak di tepi Sungai Anak Bukit dan bersebelahan dengan lebuh raya Kepala Batas - Alor Star. Ia diketahui sekurang-kurangnya semenjak pertengahan tahun 1980an oleh Abdul Halim Nasir. Menurut tradisi setempat, salah satu daripada 4 kubur disini dipercayai makam Tok Acheh.

Thursday, December 6, 2007

Kubur Haji Salleh Penaga


LOKASI
Terletak bersebelahan bangunan bekas Mahkamah Rendah Lama, Jalan Raja, Alor Star yang kini menjadi pejabat TDC Malaysia

INFO
Menurut Dato' Wan Shamsudin Mohd Yusof, batu nisan Acheh jenis N yang berwarna kuning tersebut adalah milik seorang ulama bernama Hj Salleh yang berasal dari Penaga, Seberang Perai. Beliau merupakan penasihat agama kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854 -1879) disamping bertindak sebagai guru agama di istana.

Tapak asal kawasan Mahkamah Rendah Lama di Jalan Raja tersebut pada awalnya merupakan sebuah madrasah yang didirikan oleh Tuan Guru Haji Salleh. Madrasah Tuan Guru Hj Salleh bukan sahaja dijadikan sebagai tempat pengajian agama malahan berperanan sebagai mahkamah syariah yang bertindak mengurus soal nikah cerai penduduk setempat pada ketika itu.

Setelah kematian Tuan Guru Haji Salleh, madrasah tersebut telah diruntuhkan dan diganti dengan Mahkamah Rendah Lama yang dibina oleh pihak British pada tahun 1931. Tuan Guru Haji Salleh disemadikan dikawasan perkuburan bersebelahan dengan bangunan mahkamah berkenaan. Ramai diantara ahli keluarganya juga disemadikan di kawasan perkuburan tersebut.

RUJUKAN
(2006). Old Session Court Building (Bangunan Mahkamah Rendah Lama). di akses pada 23 Oktober 2007 dari http://malaysia.smktk.net/malaysia/kedah/old_session_court_building.html

Temubual bersama Dato' Wan Samsuddin Mohd Yusof pada 24 Oktober 2007 bertempat di Muzium Negeri Kedah Alor Star

Kubur Wan Mohamad Yunus


LOKASI
Terletak bersebelahan bangunan bekas Mahkamah Rendah Lama, Jalan Raja, Alor Star yang kini menjadi pejabat TDC Malaysia.

INFO
Menurut Dato' Ismail Salleh seorang sejarawan Kedah, kubur yang mempunyai binaan simen di sekelilingnya ini adalah kubur Wan Mohamad Yunus. Beliau merupakan sepupu kepada Wan Mohammad Saman (Perdana Menteri Kedah semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid) dan bertugas sebagai seorang majistret di Kota Setar.

Sebagai salah seorang pembesar Kedah ketika itu beliau telah ditugaskan oleh Sultan Abdul Hamid untuk mengorek terusan sepanjang 15 kilometer menghala ke pinggir pantai Yan bermula dari Terusan Wan Mad Saman di Guar Chempedak. Terusan ini akhirnya dikenali sebagai Sungai Dulang. Antara terusan yang turut dibina oleh Wan Mohd Yunus di daerah Yan ialah Sungai Limau dan Sungai Sedaka.

Menurut Ismail Salleh lagi, kubur ini sebenarnya terletak di kawasan perkuburan Islam yang telah lama terbiar di tengah-tengah bandar raya Alor Star. Tambah beliau, di kawasan perkuburan ini juga terletak kubur seorang ulama silam bernama Tuan Haji Salleh Penaga, guru agama dan penasihat agama Sultan Ahmad Tajudin Mukarram Syah.

RUJUKAN
Nisan-nisan sejarah oleh Ismail Haji Salleh di Arkib Negara Cawangan Kedah-Perlis

Sharom Ahmat, Tradition and Change in a Malay States, m.s 21.

Friday, November 16, 2007

Nisan Acheh Jenis Q


Oleh kerana Q merupakan jenis tunggal bagi golongan “kerucut terbalik terpotong bulat” maka ciri khasnya sama dengan ciri khas golongan tersebut. Bahagian dasar, yang berbentuk segi empat sama, dihiasi satu atau beberapa ukiran empat persegi panjang yang dipahat.

Badan bahagian bawah berbentuk segi lapan sama dan dihiasi, pada setiap hujung, dengan satu ukiran menonjol berbentuk bebawang. Puncaknya berbentuk corong terbalik.

Nisan Acheh Jenis P


Oleh kerana P merupakan jenis tunggal bagi golongan “segi lapan dan berbahu empat” maka ciri khasnya sama dengan ciri khas golongan tersebut. Bahagian dasar, yang berbentuk segi empat sama, dihiasi satu atau beberapa ukiran empat persegi panjang yang dipahat.

Badan bahagian bawah berbentuk segi lapan sama dan dihiasi, pada setiap hujung, dengan satu ukiran menonjol berbentuk bebawang. Pada badan bahagian atas, terdapat keempat-empat penahan bahu-bahu yang berlobus-lobus, melengkung ke atas dan dihiasi ukiran bersilang-silang. Puncaknya bertingkat lima.