BATU ACEH
Thursday, December 9, 2010
Makam Tunku Ibrahim - Raja Muda Daerah Kuala Muda
Tunku Ibrahim merupakan adinda tiri kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah 1. Baginda dilantik menjadi Raja Muda yang memerintah daerah Kuala Muda apabila pihak Bangkok campur tangan setelah berlakunya krisis perebutan takhta Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah 1 dengan adinda-adindanya.
Kuala Muda ketika itu merupakan sebuah daerah yang kaya dan menjadi pintu utama perdagangan Kedah dan pihak Inggeris di Pulau Pinang. Semasa krisis tersebut, Tunku Bisnu Raja Muda ketika itu berhajat untuk menguasai daerah Kuala Muda yang kaya diletakkan di bawah kekuasaannya. Bagaimanapun Tunku Bisnu gagal apabila kerajaam Siam di Bangkok telah campur tangan dalam krisis tersebut dengan menyerahkan daerah Setul Mambang Segara kepada Tunku Bisnu. Manakala Tunku Ibrahim, adik tiri Sultan Ahmad Tajuddin dilantik menjadi Raja Muda dan memerintah daerah Kuala Muda.
Tunku Bisnu yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut sekali lagi dengan bantuan Gabenor Singgora Nakorn Sri Thammarat telah pergi mengadap Raja Siam Rama II pada awal tahun 1810 dengan membawa isu ketidaksetiaan Sultan Ahmad Tajuddin yang cuba membuat pakatan dengan Burma.
Akhirnya pada bulan September 1810, kerajaan Siam telah mengarahkan kawasan yang meliputi lembah Sungai Yan, Sungai Merbok hingga ke lembah Sungai Muda diserahkan kepada Tunku Bisnu. Tunku Ibrahim yang selama ini menguasai daerah Kuala Muda enggan menyerahkan daerah tersebut kepada Tunku Bisnu dan telah melancarkan satu pemberontakan terhadap Sultan Ahmad Tajuddin pada tahun 1815 tetapi telah ditumpaskan dan beliau sendiri terkorban masa pemberontakan tersebut.
Makam Tok Derga
Pada zaman Sultan Muhamad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah 11, Sultan Kedah ke 19 (1710-1778) baginda telah mengasaskan bandar Kota Setar atau Alor Setar sekarang (1735). Pada zaman inilah Limbong melahirkan beberapa wira yang turut mempertahankan Kedah ketika serangan armada Bugis dari Selangor dibawah pimpinan Raja Haji sekitar tahun 1770-1771.
Salah seorang wira yang terkenal di kalangan penduduk tempatan ialah Tuk Derga yang gugur dalam peperangan tersebut. Pusaranya dikelilingi tembok tembok dari batu bata yang masih dapat dilihat kesan-kesan runtuhannya di Kampung Limbong dikenali sebagai Keramat Tuk Derga. Dari namanya itulah lahirnya nama Derga yang terletak di bandar Alor Setar.
Tuk Derga gugur di kubu Bentangor yang terletak dalam Mukim Limbong yang kini tempat itu masih kekal dengan nama Alor Bentagor. Nama Bentangor adalah berasal dari nama sejenis pohon yang dalam istilah saintifiknya disebut Calophyllum Canum.
Dalam teks sejarah Bugis silam ‘Tuhfat Al-Nafis’ tempat itu disebut sebagai ‘Betangu’. Ketika memaparkan kemaraan tentera Bugis ke kubu itu, penulisnya Raja Ali Haji menulis berikut
“Syahadan apabila sampai keesokan harinya, maka memulailah perang, Raja Haji dengan kubu Betangu itu, berbedil-bedilan dengan meriam lela rentakanya... Maka tatkala itu banyaklah orang Kedah mati, Temenggung dan Laksamana pun larilah membawa lukanya ke hulu Setar”
Friday, December 3, 2010
SIRI PERANG MUSUH BISIK - TUNKU MUHAMAD SAAD
Baru-baru ini saya berpeluang menjejaki pusara salah seorang pejuang Kedah yang terlibat dalam peperangan musuh bisik (1821-1842) iaitu Tunku Muhamad Saad Tunku Daud di kawasan perkuburan Masjid Kampung Sungai Pasir, Sungai Petani.
Terima kasih kepada waris Tunku Muhamad Saad dan penduduk tempatan yang sudi memberi tunjuk arah sehingga membolehkan saya berjaya menemui pusara beliau.
Bagi mereka yang berminat dengan siri Perang Musuh Bisik, berikut saya perturunkan petikan artikel yang ditulis oleh Prof. Dr Abdullah Zakaria dari Universiti Malaya mengenai Tunku Muhamad Saad dan perjuangannya dalam membebaskan Kedah dari penjajahan Siam melalui wakilnya Raja Ligor......
"Pada 24 Mac 1838, Tunku Muhammad Saad bin Tunku Daud dan Dato' Wan Muhammad Ali menyebarkan surat jemputan ke Seberang Perai, menjemput datang berkumpul di Sungai Muda dan Sungai Merbok untuk sama-sama menentang Siam di Kedah. Tunku Muhammad Saad dibantu oleh Dato' Muhammad Ali dari Langkawi; Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Akib dari Setul; Syed Husin dan Wan Muhammad Arshad dari kayang (Perlis); Tunku Abdullah, Tunku Sulaiman; Syeikh Abdul Samad al-Palembangi, seorang ulama terkenal di Kedah pada ketika ini; juga panglima perang, seperti Tok Mo Ris(Bomoh Idris) dari Perupok, Kubur Panjang; Dato' Syahbandar Wan Daud dari Pulai, Baling dan Dato' Madi dari Bandar Baru. Dato' Panglima Bukit Gantang juga menghantar 100 orang dan lima buah perahu ke Kedah membantu gerakan menentang Siam.
Dalam usaha mengembeling tenaga sokongan penduduk Kedah, Tunku Muhammad Saad menyeru semua yang ingin menyertai gerakannya dan mendapat rahmat Allah berkumpul di Sungai Merbok. Penduduk Kedah menyahut seruan ini berkumpul di Sungai Merbok. Penduduk Kedah juga memberi sokongan kepada Tunku Muhammad Taib. Tunku Muhammad Saad melancarkan gerakannya pada bulan Mei 1838. Tunku Muhammad Taib berkumpul di Seberang Perai bersama-sama kira-kira 700 atau 800 orang dan kemudiannya memasuki Kedah. Angkatan Tunku Muhammad Saad yang berada di Sungai Muda mara ke Kedah setelah berjaya mengalahkan tentera Siam yang bertahan di sempadan Seberang Perai.
Pada 13 Jun 1838, angkatan di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad bergabung dengan angkatan Tunku Muhammad Taib berjaya mengundurkan pasukan tentera Siam yang berada di Kuala Sungai Merbok. Dengan itu angkatan ini mara ke Kedah dan Perlis. Pada 3 Ogos 1838, Tunku Muhammad Saad dan angkatannya melancarkan serangan ke atas Kota Kuala. Serangan Tunku Muhammad Saad ini dapat diatasi oleh pasukan Siam yang terdiri daripada 70 orang yang mendapat bantuan 300 orang Melayu melalui kerahan. Angkatan Kedah melancarkan serangan sekali lagi pada 4 Ogos 1838. Kali ini angkatan di bawah Tunku Muhammad Taib datang dari darat, membawa keluarga orang Melayu yang berperang bagi pihak Siam di dalam Kota Kuala. Keluarga orang Melayu tersebut dijadikan benteng pertempuran. Apabila tiga orang tua dan dua orang wanita terkorban serta ramai yang cedera, menyebabkan orang Melayu yang berada di dalam kubu menyokogan tentera Siam keluar menyokong Tunku Muhammad Taib.
Angkatan Siam yang tidak dapat bertahan mengundurkan diri ke arah Perlis. Setelah pasukan kerahan Melayu tidak ada lagi membantu pertahanan di Kota Kuala, pasukan tentera Siam menjadi lemah. Kota Kuala dapat diambil semula oleh Tunku Muhammad Saad. Tentera Siam yang gagal melarikan diri telah ditangkap dan diseksa hingga mati. Tindakan ini dilakukan kerana tentera Siam pernah melakukan perkara yang sama ke atas orang Melayu sebelum ini. Angkatan Tunku Muhammad Saad melancarkan serangan ke atas pasukan Siam yang cuba bertahan di Alur Ganu di bawah Phya Buri Sukhuton dan berjaya mengalahkan mereka. Dato' Muhammad Ali pula bergerak ke utara dan berjaya menduduki semula Setul. Kemudiannya tentera Siam dihalaukan keluar dari negeri Kedah; angkatan Kedah di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad berjaya menegakkan kembali kedaulatan Melayu dan Kedah.
Kerajaan Bangkok menuduh British lebih berpihak kepada Kedah. Angkatan Tunku Muhammad Saad di bawah Wan Ua(?) dan Wan Mat Pulau mara ke Chenak. Penduduk Cina dan Siam melarikan diri ke Senggora. Dalam ekspedisi ini angkatan Kedah telah memusnahkan kampung-kampung dan kuil Buddha. Angkatan ini mara ke Kota Baru, Reman dan seterusnya ke Kuala Bekah, Patani. Di samping itu angkatan di bawah pimpinan Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Jiwa bersama kira-kira 2,500 orang bergerak ke Senggora dan berjaya mendudukinya. Mereka mendirikan 11 kubu kecil di sini. Angkatan Tunku Muhammad Saad bersama dengan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi bersama 4,200 orang juga menuju ke utara dan menduduki Hadyai.
Kejayaan angkatan Tunku Muhammad Saad menghalau tentera Siam dari Kedah dan mendaulatkan kembali kuasa dan politik Melayu telah mengejutkan kerajaan Siam. Dengan itu Chao Phya Ligor dan Chao Phya Senggora yang ada di Bangkok diperintahkan pulang oleh Raja Siam mengumpul kekuatan mengatasi pasukan Kedah di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad. Serangan balas daripada angkatan Siam yang terdiri daripada 500 orang Cina, 2,000 orang Siam dan Melayu tidak dapat dihadang oleh angkatan Tunku Muhammad Taib yang berkubu di Senggora. Dalam pertempuran ini angkatan Kedah kehilangan jiwa 150 orang. Angkatan Tunku Muhammad Saad dan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi yang berada di Hadyai juga gagal mengatasi serangan balas angkatan Siam di bawah Chao Phya Ligor yang berlarutan kira-kira 20 hari. Walaupun Tunku Muhammad Saad dapat mengundurkan diri tetapi Syeikh Abdul Samad al-Palembangi terkorban dalam pertempuran tersebut. Selain itu Setul juga telah diduduki kembali oleh angkatan Siam.
Kemudiannya angkatan Siam melancarkan serangan ke atas kubu pertahanan orang Melayu di Alur Ganu. Pertahanan Kedah di Alur Ganu di bawah Tunku Muhammad Saad dan Dato' Wan Ali telah pecah; angkatan Siam berjaya mendudukinya. Angkatan tentera Siam datang dalam tiga pasukan bersama gajah, kerbau dan bersama mereka terdapat kanak-kanak serta wanita, berpakai biasa tetapi rambut mereka dipotong yang ditawan dari kampung Alur Lakkah(?), yang mana suami mereka berada dalam kubu di Alur Ganu. Haji Muhammad Taib yang mengalami kecederaan berundur; menaikki perahu ke Pulau Pinang. Tunku Muhammad Taib pula setelah gagal bertahan kubu Alur Ganu daripada serangan Siam, berundur di waktu malam ke Kuala. Pihak British menghantar kapal Hyacinth untuk mengepung pantai Kedah. Kapal ini bertugas dari 6 Disember 1838 hingga 11 April 1839. Ketika mengepung persisiran pantai Kedah, angkatan British memusnah perahu dan harta orang-orang Kedah.
Dalam bulan Februari 1839, angkatan Siam kira-kira 4,000 orang telah melanggar Kota Kuala yang dikawal oleh Tunku Abdullah. Tunku Muhammad Saad bergabung di Kota Kuala selepas angkatannya gagal mengatasi serangan tentera Siam di kubu Alur Ganu. Di antara mereka yang terlibat dalam pertahanan di kota kuala ialah Tunku Abdullah, Tunku Muhammad Saad, Tunku Muhammad Seawee [Zawawi?] dan Tunku Muhammad Taib. Jumlah tentera yang bertahan pula kira-kira 500 orang. Akhirnya Kota Kuala diduduki semula oleh angkatan Siam pada 20 Mac 1839.
Setelah kekalahan di Kota Kuala, pasukan tentera Kedah berkumpul lagi dan melancarkan serangan kira-kira tiga hari ke atas pertahanan tentera Siam di kubu Alur Ganu. Dalam pertempuran yang berlarutan selama tiga hari, pasukan Kedah gagal mengalahkan tentera Siam. Dengan itu Tunku Muhammad Saad berundur. Wan Muhammad Ali, Haji Mustaffa dan Wan Ismail berjaya mengundurkan diri ke Langkawi pada malam hari, 3 April 1839. Wan Muhammad dikatakan bersiap sedia untuk mengundurkan diri seterusnya ke Batu Bara, Sumatera. Kapal Hyacinth datang ke Langkawi dan mendapati beberapa buah perahu dimusnahkan. Tunku Muhammad Saad dilaporkan berundur ke arah Seberang Perai dan kemudiannya beliau ditangkap oleh British dengan tuduhan sebagai "lanun".
Tunku Abdullah berundur ke Perlis dan kemudiannya menyerah diri kepada Gabenor S.G. Bonham di Pulau Pinang. Ketika serangan Siam ke atas Kedah, kira-kira 1,000 orang wanita dan kanak-kanak Kedah berlindung dalam jajahan British. Siam pula mengibarkan bendera setelah berjaya menawan kubu-kubu pertahanan Kedah. Sementara itu Tunku Jaafar, saudara Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dan Tunku Dai atau Tunku Zainal Rashid, cuba berunding dengan pihak Siam. Tunku Muhammad Saad yang ditahan oleh British dihadapkan ke mahkamah. Walaupun bebas daripada tuduhan sebagai "lanun", Tunku Muhammad Saad dibuang ke Culcutta. Beliau kemudiannya dibenarkan pulang dan meninggal dunia di Pulau Pinang"
Sunday, November 1, 2009
Benarkah pusara Syeikh Abdul Kadir, Langgar bertarikh 904 Masihi?
Menurut buku Kedah Dalam Lipatan Sejarah: Koleksi Artikel Dato' Wan Shamsuddin Mohd Yusof, sebuah perkampungan masyarakat Islam terawal di Kedah telah wujud semenjak kira-kira seribu tahun lalu di daerah Langgar, 12 kilometer ke timur bandar raya Alor Setar. Kenyataan ini dibuktikan berdasarkan penemuan sepasang nisan batu Aceh oleh seorang guru, Encik Mansor Tobeng pada tahun 1961 di sebuah perkuburan lama di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran pekan Langgar.
Pada nisan tersebut tercatat dalam tulisan Arab/Jawi nama 'Syeikh Abdul Qadir ibni Hussain Syah Alirah', bertarikh 291 Hijrah atau bersamaan dengan 904 Masihi. Ramai para sarjana tempatan menyandarkan penemuan tersebut sebagai bukti bahawa Kedah telah menerima kedatangan Islam lebih awal berbanding Melaka. Apatah lagi buku Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang ditulis oleh Encik Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad menyebut bahawa Kedah diislamkan pada tahun 531 Hijrah atau bersamaan 1136 Masihi oleh Syeikh Abdullah dari Yaman melalui pengislaman rajanya yang bernama Seri Paduka Maharaja Darbar Raja yang kemudiannya menukarkan nama baginda kepada Sultan Muzaffar Syah.
Persoalannya benarkah batu Aceh tersebut bertarikh 291 Hijrah? Penyelidik berpendapat andaian tersebut adalah kurang tepat. Hujah penyelidik adalah berdasarkan kepada 1) batu Aceh tersebut adalah jenis batu aceh dari kurun ke 18 dan 19 (Othman, 1988), dan 2) pengkaji-pengkaji terdahulu terkhilaf mentafsir tahun Hijrah sebenar di batu nisan tersebut. Sebenarnya tarikh pada batu nisan tersebut adalah 1291 Hijrah. Sekiranya ditukar tahun Hijrah tersebut ke tahun Masihi, ia bersamaan 1874 Masihi. Berdasarkan kepada tahun Masihi tersebut jelas menunjukkan batu Aceh tersebut sebenarnya adalah dari kurun ke 19.
RUJUKAN
Othman Mohd Yatim, Batu Aceh Early Islamic Graves Stones in Peninsular Malaysia, Kuala Lumpur : Persatuan Muzium Malaysia, 1988
Saturday, July 25, 2009
Makam Perdana Menteri Kerajaan Samudera Pasai di Aceh Utara
Lhoksukon, Serambinews - Ketua tim peneliti sejarah Kerajaan Samudera Pase di Kecamatan Samudera Geudong, Aceh Utara, Tgk Taqiyuddin Muhammad, mengatakan, pihaknya telah menemukan makam perdana menteri terakhir di Kerajaan Samudera Pase.
Menurutnya, makam yang letaknya tak jauh dari jalan Banda Aceh-Medan, persisnya di belakang masjid lama Geudong itu selama ini tidak pernah dirawat, sehingga ditutupi semak belukar. Karena itu, ia merasa prihatin melihat kondisi makam seorang perdana menteri kerajaan, berada dalam semak belukar.
Menurutnya, daerah itu banyak menyimpan sejarah masa kerajaan Pase. Bahkan, kata Taqiyuddin, 60 km dari tepi pantai ke arah gunung di Aceh Utara, berceceran benda sejarah tentang Kerajaan Pase. Hanya saja, masyarakat tak tahu karena tidak mampu membaca tulisan yang tertulis di batu nisan.
Di makam tersebut, sebutnya, tertulis Al Wazir Al Afdal, artinya Perdana Menteri Al Afdal. “Dia menjadi perdana menteri, ketika kerajaan Pase dijabat Sultan Zainal Abidin bin Mahmud, Sultan terakhir Kerajaan Samudera Pase,” kata Taqiyuddin.
Sesuai dengan catatan yang tertulis di batu nisan, perdana menteri Zainal Abidin bin Mahmud, meninggal pada Kamis 7 Zulkaidah 923 Hijriyah (1518 M). Makam itu berada di Desa Meunasah Teupin Ara, Samudera, Aceh Utara.
Ditambahkan, sebenarnya kuburan itu bukan baru ditemukan. Tapi, sudah lama berada di desa itu. Namun, lanjutnya, masyarakat tidak mengetahuinya. Dengan penemuan itu, ia berharap instansi terkait dapat merawat makam tersebut.
sumber (http://acehlong.com/2009/03/24/makam-perdana-menteri-kerajaan-pase-ditemukan/)
Makam Sultan Johor Ditemukan di Pasai, Aceh Utara
Lhoksukon - Peneliti Sejarah Kebudayaan Islam dari Yayasan Waqaf Nurul Islam Lhokseumawe, kembali menemukan makam bersejarah di Aceh Utara. Kali ini, makam yang ditemukan diduga adalah makam seorang Sultan Johor, ‘Ala’uddin Ri’ayah Syah yang letaknya di gampong Meunasah Mesjid Bluek, Kecamatan Meurah Mulia, Aceh Utara (sekitar 18 Km timur Lhokseumawe) di kebun masyarakat.
Ketua peneliti sejarah Kerajaan Pase, Tgk Taqiyuddin mengatakan, dugaan ini muncul setelah melihat keterangan yang terdapat dalam Hikayat Melayu atau Sulalatus Salatin bahwa Sultan ‘Ala’uddin Ri’ayat Syah telah meninggal di Aceh yang berkedudukan di wilayah Pase. Bahkan, katanya, menurut hikayat melayu, kakanda dari Sultan Abdullah yang memerintah di Batu Sawar pada awal abad ke-17 M, telah dimakamkan di Pasai, sebab ia berkedudukan di Pasai dan meninggal sekitar tahun 1613. Sultan Johor itu diperkirakan berkuasa pada masa Pemerintahan Sultan Iskandar Muda di Aceh (1607-1636).
Dengan ditemukan makam yang tepatnya berada di depan mesjid lama Bluek ini dapat membantah buku “Aceh Sepanjang Abad” dari sumber-sumber Belanda dan asing. Dalam buku itu, disebutkan bahwa Sultan ‘Ala’uddin Ri’ayah Syah telah dihukum pancung di Aceh. Karenanya, hal itu perlu ditinjau kembali,” ujarnya.
Sebagaimana diketahui Aceh dan Johor adalah dua kekuatan muda yang sangat menentukan dalam sejarah Asia Tenggara menggantikan peran Samudra Pasai dan Melaka pasca kejatuhannya. Kedua kerajaan besar ini dikenal sangat anti-imperialisme barat berikut monopoli dagang mereka yang sangat merugikan berbagai wilayah di nusantara.
Penemuan makam ini, tambah Taqiyuddin, tidak lepas dari bantuan warga setempat. Penelitian kali ini, sebutnya, didanai oleh infak dari Mukhlis (34), Direktur Zahir Computer Lhokseumawe. Bahkan, telah berhasil mengangkat kedua batu nisan berukuran sekitar 1,5 meter yang sebagiannya nyaris tertanam
Sumber:(http://acehlong.com/2009/05/07/makam-sultan-johor-ditemukan-di-pase/)
Thursday, January 17, 2008
Keramat Anak Dara, Kg Naga
Keramat Anak Dara yang terletak di Kg Padang Pekan, Mukim Naga hanya mempunyai sebatang batu nisan sahaja. Batu nisan ini adalah jenis E1 dan dipercayai dari kurun ke 1500 masihi. Menurut penduduk tempatan, anak dara yang dimaksudkan itu adalah anak kepada seorang pembesar istana di Kota Naga yang memiliki beberapa keistimewaaan.
Kononnya disamping berdarah putih, beliau juga merupakan pawang gajah yang sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk menangkap seekor gajah putih di hutan belantara Siam atas titah sultan Kedah demi memenuhi permintaan Raja Siam ketika itu setelah beberapa orang pawang yang handal telah gagal menangkap gajah putih tersebut.
Malangnya apabila gajah putih itu berjaya ditangkap dan dijinakkan olehnya, gajah itu menderita sakit dan akhirnya mati. Lebih menyedihkan lagi apabila Pawang Anak Dara tersebut juga meninggal dunia setelah beberapa hari sakit berat.
Jenazahnya telah dikebumikan di tempat tidak jauh dari Kota Naga. Menurut penduduk tempatan, batu nisan yang ada di pusara Keramat Anak Dara itu memang terdapat sebatang sahaja. Sebatang lagi khabarnya telah diambil oleh Raja Siam sebagai tanda kenang-kenangan atas peristiwa sedih yang menimpa Pawang Anak Dara tersebut.