Showing posts with label alor setar. Show all posts
Showing posts with label alor setar. Show all posts

Thursday, December 9, 2010

Makam Tok Derga


Pada zaman Sultan Muhamad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah 11, Sultan Kedah ke 19 (1710-1778) baginda telah mengasaskan bandar Kota Setar atau Alor Setar sekarang (1735). Pada zaman inilah Limbong melahirkan beberapa wira yang turut mempertahankan Kedah ketika serangan armada Bugis dari Selangor dibawah pimpinan Raja Haji sekitar tahun 1770-1771.

Salah seorang wira yang terkenal di kalangan penduduk tempatan ialah Tuk Derga yang gugur dalam peperangan tersebut. Pusaranya dikelilingi tembok tembok dari batu bata yang masih dapat dilihat kesan-kesan runtuhannya di Kampung Limbong dikenali sebagai Keramat Tuk Derga. Dari namanya itulah lahirnya nama Derga yang terletak di bandar Alor Setar.

Tuk Derga gugur di kubu Bentangor yang terletak dalam Mukim Limbong yang kini tempat itu masih kekal dengan nama Alor Bentagor. Nama Bentangor adalah berasal dari nama sejenis pohon yang dalam istilah saintifiknya disebut Calophyllum Canum.

Dalam teks sejarah Bugis silam ‘Tuhfat Al-Nafis’ tempat itu disebut sebagai ‘Betangu’. Ketika memaparkan kemaraan tentera Bugis ke kubu itu, penulisnya Raja Ali Haji menulis berikut

Syahadan apabila sampai keesokan harinya, maka memulailah perang, Raja Haji dengan kubu Betangu itu, berbedil-bedilan dengan meriam lela rentakanya... Maka tatkala itu banyaklah orang Kedah mati, Temenggung dan Laksamana pun larilah membawa lukanya ke hulu Setar

Sunday, November 1, 2009

Benarkah pusara Syeikh Abdul Kadir, Langgar bertarikh 904 Masihi?


Menurut buku Kedah Dalam Lipatan Sejarah: Koleksi Artikel Dato' Wan Shamsuddin Mohd Yusof, sebuah perkampungan masyarakat Islam terawal di Kedah telah wujud semenjak kira-kira seribu tahun lalu di daerah Langgar, 12 kilometer ke timur bandar raya Alor Setar. Kenyataan ini dibuktikan berdasarkan penemuan sepasang nisan batu Aceh oleh seorang guru, Encik Mansor Tobeng pada tahun 1961 di sebuah perkuburan lama di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran pekan Langgar.

Pada nisan tersebut tercatat dalam tulisan Arab/Jawi nama 'Syeikh Abdul Qadir ibni Hussain Syah Alirah', bertarikh 291 Hijrah atau bersamaan dengan 904 Masihi. Ramai para sarjana tempatan menyandarkan penemuan tersebut sebagai bukti bahawa Kedah telah menerima kedatangan Islam lebih awal berbanding Melaka. Apatah lagi buku Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang ditulis oleh Encik Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad menyebut bahawa Kedah diislamkan pada tahun 531 Hijrah atau bersamaan 1136 Masihi oleh Syeikh Abdullah dari Yaman melalui pengislaman rajanya yang bernama Seri Paduka Maharaja Darbar Raja yang kemudiannya menukarkan nama baginda kepada Sultan Muzaffar Syah.

Persoalannya benarkah batu Aceh tersebut bertarikh 291 Hijrah? Penyelidik berpendapat andaian tersebut adalah kurang tepat. Hujah penyelidik adalah berdasarkan kepada 1) batu Aceh tersebut adalah jenis batu aceh dari kurun ke 18 dan 19 (Othman, 1988), dan 2) pengkaji-pengkaji terdahulu terkhilaf mentafsir tahun Hijrah sebenar di batu nisan tersebut. Sebenarnya tarikh pada batu nisan tersebut adalah 1291 Hijrah. Sekiranya ditukar tahun Hijrah tersebut ke tahun Masihi, ia bersamaan 1874 Masihi. Berdasarkan kepada tahun Masihi tersebut jelas menunjukkan batu Aceh tersebut sebenarnya adalah dari kurun ke 19.

RUJUKAN
Othman Mohd Yatim, Batu Aceh Early Islamic Graves Stones in Peninsular Malaysia, Kuala Lumpur : Persatuan Muzium Malaysia, 1988