Sunday, November 1, 2009

Benarkah pusara Syeikh Abdul Kadir, Langgar bertarikh 904 Masihi?


Menurut buku Kedah Dalam Lipatan Sejarah: Koleksi Artikel Dato' Wan Shamsuddin Mohd Yusof, sebuah perkampungan masyarakat Islam terawal di Kedah telah wujud semenjak kira-kira seribu tahun lalu di daerah Langgar, 12 kilometer ke timur bandar raya Alor Setar. Kenyataan ini dibuktikan berdasarkan penemuan sepasang nisan batu Aceh oleh seorang guru, Encik Mansor Tobeng pada tahun 1961 di sebuah perkuburan lama di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran pekan Langgar.

Pada nisan tersebut tercatat dalam tulisan Arab/Jawi nama 'Syeikh Abdul Qadir ibni Hussain Syah Alirah', bertarikh 291 Hijrah atau bersamaan dengan 904 Masihi. Ramai para sarjana tempatan menyandarkan penemuan tersebut sebagai bukti bahawa Kedah telah menerima kedatangan Islam lebih awal berbanding Melaka. Apatah lagi buku Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang ditulis oleh Encik Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad menyebut bahawa Kedah diislamkan pada tahun 531 Hijrah atau bersamaan 1136 Masihi oleh Syeikh Abdullah dari Yaman melalui pengislaman rajanya yang bernama Seri Paduka Maharaja Darbar Raja yang kemudiannya menukarkan nama baginda kepada Sultan Muzaffar Syah.

Persoalannya benarkah batu Aceh tersebut bertarikh 291 Hijrah? Penyelidik berpendapat andaian tersebut adalah kurang tepat. Hujah penyelidik adalah berdasarkan kepada 1) batu Aceh tersebut adalah jenis batu aceh dari kurun ke 18 dan 19 (Othman, 1988), dan 2) pengkaji-pengkaji terdahulu terkhilaf mentafsir tahun Hijrah sebenar di batu nisan tersebut. Sebenarnya tarikh pada batu nisan tersebut adalah 1291 Hijrah. Sekiranya ditukar tahun Hijrah tersebut ke tahun Masihi, ia bersamaan 1874 Masihi. Berdasarkan kepada tahun Masihi tersebut jelas menunjukkan batu Aceh tersebut sebenarnya adalah dari kurun ke 19.

RUJUKAN
Othman Mohd Yatim, Batu Aceh Early Islamic Graves Stones in Peninsular Malaysia, Kuala Lumpur : Persatuan Muzium Malaysia, 1988

No comments: