Thursday, January 17, 2008

Keramat Anak Dara, Kg Naga



Keramat Anak Dara yang terletak di Kg Padang Pekan, Mukim Naga hanya mempunyai sebatang batu nisan sahaja. Batu nisan ini adalah jenis E1 dan dipercayai dari kurun ke 1500 masihi. Menurut penduduk tempatan, anak dara yang dimaksudkan itu adalah anak kepada seorang pembesar istana di Kota Naga yang memiliki beberapa keistimewaaan.

Kononnya disamping berdarah putih, beliau juga merupakan pawang gajah yang sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk menangkap seekor gajah putih di hutan belantara Siam atas titah sultan Kedah demi memenuhi permintaan Raja Siam ketika itu setelah beberapa orang pawang yang handal telah gagal menangkap gajah putih tersebut.

Malangnya apabila gajah putih itu berjaya ditangkap dan dijinakkan olehnya, gajah itu menderita sakit dan akhirnya mati. Lebih menyedihkan lagi apabila Pawang Anak Dara tersebut juga meninggal dunia setelah beberapa hari sakit berat.

Jenazahnya telah dikebumikan di tempat tidak jauh dari Kota Naga. Menurut penduduk tempatan, batu nisan yang ada di pusara Keramat Anak Dara itu memang terdapat sebatang sahaja. Sebatang lagi khabarnya telah diambil oleh Raja Siam sebagai tanda kenang-kenangan atas peristiwa sedih yang menimpa Pawang Anak Dara tersebut.

No comments: